16 Mei. Bagi kebanyakan orang di luar sana, hari tersebut tiada bezanya dengan hari-hari yang lain.
Namun, bagi seorang guru seperti saya, 16 Mei inilah hari untuk bermuhasabah tentang perjalanan saya dalam mendidik anak murid.
Sejauh manakah perkembangan dan pencapaian mereka? Adakah saya telah lakukan yang terbaik? Apakah mereka menunjukkan pertumbuhan dari segi akademik dan juga psikososial?
Menjadi lumrah manusia untuk memberi sepenuh tumpuan pada hal yang perlu diperbaiki, sehingga terkadang mengabaikan pencapaian yang telah dikecapi.
Teringat pada seorang anak murid yang selalu mencelah dalam kelas dan dianggap nakal. Walaupun ada kalanya geram juga dibuatnya, tetapi saya tetap cuba bersabar dalam melayan kerenahnya.
Suatu hari, tanpa diduga, dia melaung dari belakang kelas, “Thanks for teaching us!” Ditanya mengapa, katanya kerana diberi ruang untuk bersuara dan bertanya soalan dalam kelas.
Apabila mendapat penghargaan daripada anak murid, penat lelah serta rasa beban hilang sekelip mata. Membara semula semangat untuk meneruskan perjuangan mendidik generasi akan datang.
Sempena Hari Guru tahun ini, kami di Arus turut sempat mengumpul perkongsian daripada rakan seperjuangan daripada bermacam-macam latar belakang. Tonton dan nikmati perkongsian mereka di laman media sosial kami (Facebook, Instagram, Telegram).
Ingat, jangan sesekali abaikan sekecil-kecil pencapaian – perjuangan kita perjuangan yang panjang, dan makan masa yang sangat lama untuk mengorak perubahan.
Usah terperangkap dihambat lelah dek kerana asyik mengintai kejayaan yang besar, dan lupa nak berteduh mengumpul kekuatan dari kejayaan-kejayaan kecil.
Selamat Hari Guru, rakan semua!